01

Rabu, 12 Juni 2013

DAYAK LUNDAYEH, TENOM SABAH

Suku Dayak Lundayeh sebenarnya berasal dari daerah pedalaman Sabah, Sarawak dan sempadan perbatasan Kalimantan Indonesia- Malaysia . Pada mulanya mereka bekerja di ladang getah dan koko, tetapi kemudiannya berpindah dari satu tempat ke tempat lain sehinggalah akhirnya mereka kebanyakannya menetap di Kampung Baru Jumpa, di daerah Tenom. Sebahagian daripadanya, berhijrah ke daerah Sipitang dan terus melibatkan diri dalam bidang pertanian.

Kampung Baru Jumpa kira-kira 25 kilometer dari pekan Tenom, yang sebahagian besarnya dihuni masyarakat etnik Lundayeh, kini merupakan sebuah kampung yang maju dan menjadi kampung contoh dan terkenal dengan hasil pertaniannya seperti padi, koko dan getah. Kaum ini seperti juga etnik lain di Sabah, mempunyai adat resam dan budaya mereka sendiri yang masih terpelihara sehingga kini. Mereka mempunyai pelbagai jenis hiburan yang sering dimainkan setelah penat bekerja seharian di ladang.
Dalam persembahan tarian, mereka mengenakan pakaian tradisi. Pakaian ini juga dipakai pada ketika majlis keramaian lain seperti upacara kenduri kahwin, menyambut hari kebesaran dan sebagainya. Etnik Lundayeh Sabah mempunyai kaitan dan persamaan dengan etnik Lundayeh di Sarawak.

Lelaki Lundayeh (khususnya golongan muda) memakai perhiasan yang dipanggil fakel rimau. Fakel rimau ini biasanya terdapat pada sejenis tumbuhan hutan yang disebut rimau labo. Tumbuhan ini mempunyai tali hitam yang terdapat pada pokoknya. Ianya di anyam dan kemudian dililit di bahagian lutut sebagai perhiasan bahagian kaki.

Kebiasaannya ianya memperlihatkan kegagahan pemuda Lundayeh jika memakai fakel rimau ini. Sementara itu pakaian tradisi kaum lelaki masyarakat Lundayeh pula agak unik dan bajunya tidak berlengan serta berbelah di bahagian dada tetapi tidak memakai butang. Ia Cuma diikat di bahagian depan sahaja. Pakaian ini biasanya dibuat daripada kulit kayu timbaran iaitu sejenis kayu yang kulitnya boleh dibuat tali.
Ada juga yang mengatakan baju yang dipanggil baked talon ini diperbuat daripada kulit kayu yang dinamakan kayu talun atau sejenis kayu tarap hutan. Proses membuatnya sangat sukar dan melalui beberapa tahap. Pertamanya, dapatkan kulit kayu talun, kemudian kulit kayu itu dipukul dengan batang kayu yang keras atau batang nibung sehingga kulit kayu talun menjadi lembut. Kemudian ia dijahit dengan benang yang berwarna. Adakalanya jahitan dibuat dalam reka bentuk tradisional yang disebut arit atau dilukis menggunakan cat merah atau hitam mengikut kehendak pemiliknya.

Pada zaman dahulu, pakaian ini dipakai oleh nenek moyang masyarakat Lundayeh ketika bekerja di ladang atau berburu di hutan. Pakaian tradisional lelaki kaum Lundayeh tidak mempunyai seluar, sebaliknya mereka hanya memakai cawat yang dibuat daripada kulit kayu Timbaran dan untuk hiasan kepala, mereka menggunakan topi atau sigar suba iaitu sejenis kain merah dililit sehingga menjadi bentuk topi.

Ada juga kaum Lundayeh yang menamakan sigar mereka yang diperbuat daripada kulit binatang sebagai fataa baw lifen kuir yang dianyam daripada busak baw berwarna putih, kuning, hijau, hitam dan merah jambu. Di tepi bahagian bawah dan atas dijahitkan benang putih yang padanya terdapat benda berkilat yang dijahit untuk menambah kecantikan topi itu. Ia diperbuat daripada kulit sejenis binatang liar yang lazimnya tinggal di dahan kayu besar di hutan belantara yang dahulunya boleh diperolehi hanya dengan menggunakan alat seperti sumpitan. Fataa seperti ini kini biasanya dipakai pihak lelaki semasa mengadakan keramaian dan pesta Lundayeh.

Pakaian tradisi masyarakat Lundayeh pula tidak jauh bezanya daripada pakaian Lundayeh mereka biasanya mengenakan baju potongan kebaya daripada kain biasa berwarna putih dengan lis di leher dan tangan berwarna hitam yang dipanggil bekad berecu. Ia dihias renda atau manik. Sementara kain sarungnya pula berwarna hitam daripada kain biasa dipanggil tekipsiating. Ia dihias dengan renda atau manik pada hujung tepi sarung tersebut dan dipakai hingga ke paras lutut.

Pakaian ini dihiasi alat perhiasan seperti rantai leher yang dipanggil baw tulang atau baney baw. Perhiasan ini disulam daripada baw berwarna merah kuning, perang, hijau dan sebagainya. Ia berbentuk seperti manik-manik dan diperbuat daripada damar, batu dan tulang. Jika diperbuat daripada tanah liat ia mestilah dicampur dengan pasir yang sudah dibersihkan dan diambil dari pinggir sungai.
Tanah bercampur pasir ini kemudian dijemur selama setengah hari atau sekurang-kurangnya enam jam. Ia kemudian dibulatkan dengan tangan. Prosesnya harus berhati-hati supaya tidak pecah, Selepas itu ia dibakar dan dibuat lubang menggunakan besi halus atau kayu keras dan diwarnakan. Setelah diwarnakan ia tidak boleh disentuh selama tiga hari agar warnanya tidak rosak. Perhiasan wanita Lundayeh ini harganya mahal dan biasanya mencecah ribuan ringgit.

Selain daripada baw tulang terdapat juga alat hiasan lain seperti ikat pinggang yang dipanggil selapit. Ikat pinggang ini diperbuat daripada perak / gansa, dihias dengan lilitan manik-manik beraneka warna, juga diperbuat darpada damar, batu dan tulang. Ada juga mengatakan wanita Lundayeh memakai tali pinggang yang dipanggil beret ringgit yang diperbuat daripada wang berbentuk syiling. Terdapat juga leku baw iaitu perhiasan tangan berbentuk gelang. Perhiasan ini dililit pada kedua-dua tangan sebanyak 10 atau dua kali lilit dan disulam daripada baw berwarna merah, hijau, putih dan hitam.
Selain itu terdapat juga perhiasan tangan yang dipanggil leku sulou iaitu gelang tangan berwarna putih yang dipakai pada kedua-dua tangan sebagai perhiasan. Untuk hiasan kepala atau penutup bahagian kepala terdapat perhiasan dipanggil alet birar. Ada yang menamakan sebagai feta baw. Perhiasan ini berbentuk manik bulat dan diletakkan di sekeliling kepala. Perhiasan ini diperbuat daripada manik-manik besar berwarna kuning, sedikit warna merah, perang, putih dan hitam.

1 komentar: